Potensi Iskandar Malaysia dan saingan Singapura

JOHOR BARU: SEBAGAI sebuah wilayah ekonomi yang menghadap Singapura, negara pulau yang maju dan moden serta terkehadapan dalam pembangunan sosial, ekonomi dan sahsiah, Iskandar Malaysia berdepan cabaran cukup unik.

Cabaran itu sebenarnya peluang cukup besar untuk Iskandar Malaysia bergerak tangkas menjadi pemain utama dunia, sekali gus hasrat status metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mapan dicapai dengan jaya.

Bergerak atas landasan rancangan pembangunan komprehensif, peranan dan fungsi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai principle coordinator bersifat universal dan sewajarnya melangkaui kekuatan dan kelebihan negara jiran.

Dengan kekuatan dari segi pembangunan fizikal, kelebihan sumber asli dan alam semula jadi, mahu pun sumber tenaga insan, termasuk dalam kalangan pemikir dan pelaksana, Iskandar Malaysia digerak sederap seiring sokongan padu tiga lapisan pentadbiran negara, kerajaan negeri dan Persekutuan serta pihak berkuasa tempatan.

Ramai berpandangan, pencapaian Iskandar Malaysia diukur daripada manifestasi pembangunan inklusif, berpaksi kesejahteraan rakyat, yang pada satu tahap tertentu boleh dibangga. Ini dibuktikan menerusi pelaksanaan inisiatif dan program di lapangan.

Pun begitu, diakui bahawa banyak lagi keunikan dan kelebihan Iskandar Malaysia yang boleh dipugar, distrategi secara cekap dan berkesan ke arah pengukuhan sebagai pemain global.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ucapan penggulungan pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini, menyatakan peranan penting Iskandar Malaysia sebagai koridor ekonomi yang akan terus memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat.

Atas kepentingan sama, ada Ahli Parlimen mencadangkan model Iskandar Malaysia diperkenal ke sebelah utara, iaitu sempadan Malaysia-Thailand bagi memberi saingan kepada negara jiran, sekali gus membawa arus pembangunan lebih hebat dan merata di luar bandar.

Iskandar Malaysia, kawasan berkeluasan 2,217 kilometer persegi, merangkumi lima pihak berkuasa tempatan dan tiga daerah, iaitu Johor Bahru, Kulai dan sebahagian daerah Pontian.

Wilayah ekonomi ini dikawal selia IRDA menerusi Akta IRDA 664 dan kini memasuki fasa ketiga kematangan pembangunan. Secara senyap Iskandar Malaysia menjadi pesaing ‘berbisa’ serantau dan global.

Bangga pencapaian diraih

Semangat sentiasa tersemat kukuh dalam sanubari setiap warga Iskandar Malaysia yang kini melepasi lebih dua juta penghuni untuk berbangga dengan pencapaian diraih, walaupun berdepan cabaran meraih peluang dalam meniti perjalanan menuju kejayaan.

Berdasarkan pertemuan dengan pelbagai pemegang taruh, mesej cukup jelas Iskandar Malaysia menterjemah dengan baik Rancangan Pembangunan Komprehensif (CDP) yang dirangka sebegitu rupa, bersifat strategik, dijadikan asas bagi perjalanannya sehingga 2025.

Pun begitu, pelaksanaannya di lapangan menuntut kepada ketertiban, penumpuan, disiplin, kecekapan, efisien dan integriti yang tinggi. Semua itu perlu digarap dan dijadikan asas kepada perjalanan pembangunan lebih mampan dan berinovasi ketika ia masuk ke fasa ketiga kematangan pembangunan.

Perkara sedemikian terus diperingatkan dalam pertemuan bersama pemegang taruh, terutama Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor sebagai Pengerusi Bersama IRDA, menteri, EXCO kerajaan negeri dan pemain utama industri.

Melangkah penuh yakin, sembilan sektor ekonomi terus dipromosi ke seantero dunia, termasuk dalam misi pelaburan kerana ia menyatakan jelas bahawa pembangunan Iskandar Malaysia diacu dengan baik di lapangan, berasaskan sektor yang berupaya mewujudkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Sektor berkenaan ialah pengeluaran, logistik, kreatif, petrokimia dan oleokimia, kewangan, perkhidmatan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Semua sembilan sektor itu telah pun ada di lapangan dan perlu dipugar lagi kekuatan, sebagai penyumbang utama kepada ekonomi dari segi menjana peluang kerja, termasuk dalam kategori berpendapatan tinggi iaitu pada sekitar 30 peratus kini dan peluang perniagaan bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Untuk rekod, lebih 67 peratus PKS di Johor berada dalam Iskandar Malaysia. Daripada sektor ekonomi berkenaan, sejumlah lebih 780,000 peluang kerja telah diwujudkan dan dijangka meningkat dengan kemasukan lebih banyak pemain baharu industri, terutama dalam sektor seperti logistik, kreatif, pengeluaran, kesihatan dan terbaru, automotif.

Menuju ke hadapan yang gemilang, Iskandar Malaysia menyusun atur beberapa strategi dalam membesarkan kek ekonominya bagi menepati sasaran RM383 bilion pelaburan menjelang 2025, sekali gus menyaingi kekuatan negara serantau.

Pulangan faedah berganda

Ini sekali gus memastikan pulangan faedah berganda kepada rakyat dapat dilaksana secara lebih berselerak dan merata. Tiada yang ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan dan pemodenan wilayah ekonomi ini.

Kekuatan sumber insan, terutama kumpulan sasar dalam kalangan nelayan, ibu tunggal dan anak muda telah disepadu bagi meraih peluang daripada kelebihan, kekuatan dan keunikan alam semula jadi, antara yang terus diusaha secara berfokus.

Kekuatan ini telah pun digerakkan di lapangan. Air terjun dan hutan simpan Gunung Pulai, khazanah kekayaan Sungai Pulai, hutan paya bakau Tanjung Piai dan Pulau Kukup, rantaian sungai yang terus mengalir segar dari pelbagai penjuru ke Selat Johor terus menggamit pengunjung, menyerlahkan lagi potensi itu dan wajar dipugar lagi.

Kaedah dan tawaran pakej kunjungan terus ditambah baik ke arah bertaraf dunia. Pembangunan modal insan kalangan anak tempatan terus diperkukuh dan digerakkan menerusi koperasi milik anak tempatan.

Keunikan Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri; Kampung Kong Kong Laut, Pasir Gudang; Kampung Permas Besar, Tanjong Piai dan Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai menggunakan kekuatan sumber alam semula jadi, iaitu sungai dan hutan bakau, aktiviti ekonomi ternakan kupang, ikan sangkar, memancing dan mendaki, inap desa, produk tempatan sudah berupaya menggamit puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia.

Keunikan tradisional itu digabungkan dengan jenama pelancongan besar seperti Legoland, Johor Premium Outlet (JPO) dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio (PIMS).

Atas kepercayaan terhadap kemampuan Iskandar Malaysia menterjemah inisiatif dan program bersifat universal dan inklusif di lapangan, dunia sebenarnya terus memerhati koridor ekonomi ini yang jelas nyata wujud keunikan tersendiri.

Lantas, melalui tenaga pemikir dan rantaian hubungan, Iskandar Malaysia telah dianugerah beberapa peranan besar membangunkan rangkaian sistem pengangkutan dan yang terbaru ialah pelaksanaan Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) yang akan bermula pada 2019.

Atas keyakinan sama, inisiatif Sistem Pengurusan Mobiliti Iskandar Malaysia bagi Program Bandar Raya Masa Depan Global, koridor ekonomi ini diperuntukkan Geran Tabung Kemakmuran dari British Commonwealth berjumlah £4.6 juta untuk inisiatif itu dilaksana di lapangan dan bakal menjadi model untuk diguna pakai pada peringkat nasional.

Latih 1,500 lepasan SPM

Satu lagi contoh terbaik, inisiatif digerakkan bagi melatih 1,500 lepasan sekolah yang kurang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengisi peluang kerja dengan syarikat coklat terkemuka, Hershey yang membuka kilang terbesar di Iskandar Malaysia.

Anak muda ini sudah berkerjaya dan mempunyai pendapatan selesa. Mekanisme dan model diperkenalkan Iskandar Malaysia bagi melatih anak muda dalam industri berkenaan diterima secara positif dan amalan terbaik untuk diperkenal pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Itu antara beberapa contoh bahawa impak Iskandar Malaysia cukup besar dan strategi bagi menawan pasaran serantau dunia terus direncana serta digerakkan dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan menerusi kementerian dan agensi berkaitan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, pemain utama industri serta pemegang taruh berkaitan.

Kekuatan dan potensi Iskandar Malaysia masih banyak tidak dipugar dan distrategi. Pastinya strategi lebih tersusun diasas kepada mewujudkan persaingan sihat dengan negara jiran yang dilihat sentiasa mengambil kesempatan daripada potensi yang ada di dalam dan sekitar mereka.

Kepintaran Singapura menggunakan sumber kekayaan negara jiran mereka dari segi modal insan, khazanah kekayaan alam sehingga aspek yang nampak kecil sifatnya, terus-terusan dijadikan produk mereka. Itulah kekuatan sumber tenaga pemikir.

Belajar daripada pengalaman dan ilmu yang baik itu, Cendol Singapura pun dapat disenarai dalam 50 manisan terbaik dunia oleh CNN. Sebelum itu, Singapore Lychee dengan bahan mentahnya rambutan, begitu juga laksa dan nasi lemak, semua sudah menjadi produk bertaraf dunia yang kononnya berasal dari Singapura.

Padahal, hampir keseluruhan bahan mentah bagi produk berkenaan, sama ada dari Malaysia atau Indonesia, manakala Singapura hanya perlu menjadikan pakej menarik untuk dipersembahkan kepada dunia.

Itulah kepintaran Singapura, yang Iskandar Malaysia sebenarnya memiliki rahsia terus dipugar dengan strategi secara perlahan-lahan menyerlahkan impaknya dan akan menjadi lebih hebat dalam tempoh menjelang fasa ketiga kematangan yang akan memberi tumpuan kepada kemampanan dan inovasi.

Source: Berita Harian