ISKANDAR PUTERI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan perkhidmatan perniagaan global (GBS) sebagai salah satu sektor yang akan dipromosikan di Iskandar Malaysia.

Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd, Zulfiqar Zainuddin, berkata pengumuman ini akan dibuat pada sambutan ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia pada bulan depan.

“Dengan GBS, akan ada lebih banyak kesedaran tentang potensi sektor ini di kalangan pelabur.

“Dalam enam hingga sembilan bulan, kami menjangka akan berlaku pertambahan permintaan dan pertanyaan mengenai GBS di Iskandar Malaysia,” katanya selepas lawatan pembiasaan media di sini kelmarin.

i2M Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd, terlibat dalam mempromosikan GBS Iskandar, satu program khas bagi memudahkan perniagaan untuk mencari operasi GBS di Iskandar Malaysia.

Zulfiqar berkata, syarikat itu juga bekerja rapat dengan Medini Iskandar dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai lokasi yang berstatus Koridor Raya Multimedia.

“Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan terutamanya daripada sektor GBS,” katanya.

Di bawah mandatnya, GBS Iskandar menyasarkan untuk menjana RM6.5 bilion pelaburan dan mewujudkan 14,000 pekerjaan bernilai tinggi serta berasaskan pengetahuan menjelang tahun 2020.

Selepas tiga tahun, ia sudah mewujudkan 2,300 kerja profesional dalam sektor perkhidmatan perniagaan dan perkhidmatan perkongsian penyumberan luar.