MITI optimis terhadap prestasi perdagangan negara

KUALA LUMPUR – Menjelang ulang tahun pertama PH pada 9 Mei ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking terus optimis terhadap prestasi perdagangan negara meskipun mendepani cabaran yang lebih besar.

Beliau berkata, PH ialah kerajaan bertanggungjawab kerana objektif utama bukan sahaja mencari pelaburan yang berkualiti semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah mahu rakyat menikmati manfaat langsung daripada pelaburan yang diterima hasil daripada perdagangan MITI ke luar negara.

“Sebagai contoh, semasa misi perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, MITI dan Microsoft bersama-sama menubuhkan Applied Artificial Intelligence (AI) berpangkalan di Malaysia dengan nama Centre of AI for Future Industry (CAIFI).

“Rancangan industri digital ini menyasarkan 15,000 pelajar universiti dengan peluang latihan industri, latihan kemahiran digital kepada 2.2 juta pekerja perusahaan kecil dan sederhana dan 8,500 pekerja digital menjelang 2020 di rantau Asean,” katanya pada sesi temu bual khas di kementeriannya, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Darell mengakui laporan berita yang negatif terhadap pertumbuhan ekonomi dan perdagangan merencatkan sedikit kemasukan pelabur asing, namun Ahli Parlimen Penampang itu berkata, Putrajaya mengharapkan prestasi dagangan negara kembali rancak.

“Bank Negara Malaysia telah menilai dan menyemak serta menjangkakan momentum pertumbuhan ini dipelihara,” katanya.

Sementara itu, Darell berkata, MITI mengharapkan sektor pembinaan dan sektor runcit meningkat pada 2019.

Menurutnya, Malaysia juga berpotensi cerah sebagai hab bagi Zon Perdagangan Bebas Digital oleh banyak syarikat antarabangsa.

“Ini kerana mereka melihat tanah kita luas, keselamatan dan lapangan terbang serta simpanan kita baik. Kemungkinan besar kita dapat menjadi hab penyediaan logistik,” katanya.

Source: Sinar Harian