KUALA LUMPUR: Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. (MIM), perancang utama dan pemaju Medini Iskandar Malaysia menyambut baik pelancaran Program Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Iskandar dan menyatakan program itu akan bertindak sebagai pemangkin penting untuk merangsang aktiviti ekonomi di rantau ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, dengan insentif yang unik kepada bandar tersebut, peningkatan akses dan perhubungan serta lokasi yang strategik dan berdekatan dengan Singapura, Medini mempunyai potensi untuk menjadi tempat pilihan kepada syarikat bagi me­nempatkan operasi perkhidmatan perniagaan global mereka untuk Asia Tenggara di bandar tersebut.

Katanya, rantau ini merupakan destinasi utama untuk perniagaan global yang pelbagai dan menempatkan perkongsian perkhidmatan sesebuah syarikat dalam Medini akan memberi kelebihan yang jelas kepada pelabur yang ingin mewujudkan nilai dan prospek pertumbuhan yang cekap.

“Mempunyai akses kepada bakat dan sumber manusia yang banyak merupakan faktor kejayaan penting bagi sesebuah hab untuk mengekalkan daya saing.

“MIM baru-baru telah memulakan kerjasama dengan pihak berkepen­tingan utama untuk membincangkan bagaimana memupuk bakat dan modal insan yang lebih baik bagi dimanfaatkan oleh pelabur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

GBS Iskandar yang bakal menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab baharu sektor itu di rantau ini di­jangka mampu menarik pelaburan seba­nyak RM6.5 bilion menjelang tahun 2020.

Perkhidmatan yang akan di­uruskan anak syarikat milik Kha­zanah Nasional Bhd., i2M Ventures Sdn. Bhd. (i2M), tersebut diwujudkan bagi merangsang pelaburan di Iskandar Malaysia dan dijangka mampu mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan dalam tempoh itu.

Sementara itu, Khairil berkata, MIM gigih untuk menyumbang kepada pembangunan Iskandar Puteri sebagai hab GBS di rantau ini mela­lui kerjasama rapat dengan Malaysia Ekonomi Digital Corporation Sdn. Bhd. bagi mewujudkan lebih banyak pusat siber di Medini.

“Kewujudan lebih banyak pusat siber ini boleh memenuhi keperluan pelabur,” ujarnya.

Tambahnya, kluster komersial mereka yang merangkumi dua blok menara sedang dibangunkan yang akan menawarkan struktur dinamik dan ruang pejabat yang memboleh­kan pelabur untuk berkembang.

Jelasnya, MIM sedar keperluan untuk mengekalkan standard yang unggul dalam pengurusan per­khidmatan perbandaran dan mewujudkan persekitaran yang sesuai di­diami dikelilingi oleh ekosistem yang berkembang maju.

Source: Utusan Online