Kawasan pembangunan Iskandar Malaysia diperluas

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Mesyuarat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa (MoA) Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ke-24 di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Mesyuarat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa (MoA) Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ke-24 meluluskan cadangan untuk memperluaskan kawasan Pembangunan Iskandar daripada 2,217 kilometer (km) persegi kepada 4,749 km persegi.

Perluasan itu menjadikan daerah Kota Tinggi, Kluang dan Pontian sebagai sebahagian daripada wilayah di dalam Iskandar Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kemajuan yang dicatatkan oleh Iskandar Malaysia sejak tahun 2006 adalah benar-benar mengagumkan dan akan menjadi kunci dalam membantu Malaysia menjadi Harimau Asia semula.

“Sebagai agensi yang memacu pembangunan Iskandar Malaysia, saya yakin dengan peranan dan tanggungjawab IRDA dalam menyokong pembangunan Johor dan agenda negara," katanya yang juga adalah Pengerusi Bersama IRDA, pada mesyuarat MoA IRDA ke-24.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim.

Sementara itu, Osman turut senada dengan berkata pertumbuhan Iskandar Malaysia yang kukuh dan stabil akan meningkatkan dan melengkapkan pembangunan Johor.

“Ia sekali gus memperkukuhkan aspirasi Johor untuk menjadi negeri berprestasi tinggi,” katanya yang turut mempengerusikan bersama mesyuarat itu.

Ismail pula berkata, MoA percaya dengan kawasan liputan lebih meluas, Iskandar Malaysia akan menawarkan tanah pembangunan lebih besar pada kos mampu milik.

“Dalam masa sama, ia membawa pertanian moden sebagai salah satu sektor promosi baharu,” katanya.

Beliau berkata, Iskandar Malaysia yakin aliran masuk pelaburan serantau dari pelabur domestik dan asing akan terus berkembang dari tahun ke tahun seterusnya.

“Ini akan meningkatkan keseluruhan sistem eko di Iskandar Malaysia memandangkan kesan limpahan akan memberi impak yang lebih tinggi ke atas ekonomi di wilayah ini dan kepada rakyat,” katanya.

Dari segi pertumbuhan ekonomi Ismail berkata, Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan komited berjumlah RM32.23 bilion pada tahun 2018, dengan RM22.03 bilion adalah pelaburan yang telah direalisasikan.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan komited yang diterima wilayah itu dari tahun 2006 hingga 31 Disember 2018 sebanyak RM285.34 bilion.

“Setakat ini, pelabur tempatan menyumbang sebanyak RM194.81 bilion atau 62 peratus kepada jumlah keseluruhan pelaburan komited itu manakala baki RM90.51 bilion disumbangkan oleh pelabur asing.

“Lima negara yang menyumbang kepada pelaburan komited tertinggi ke Iskandar Malaysia dari tahun 2006 hingga Disember 2018 adalah China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.

“Dari tahun 2006 hingga 2018, sektor perkhidmatan iaitu Pelancongan, Pendidikan, Kewangan, Penjagaan Kesihatan, Kreatif dan Logistik mencatatkan pelaburan berjumlah RM28.9 bilion yang turut merangkumi teknologi baru muncul,” katanya.

Source: Berita Harian