Johor mahu tarik pelaburan 7 negara

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri merancang mengadakan lawatan kerja ke Dubai, China, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Singapura dalam usaha untuk mencapai sasaran RM8 bilion pelaburan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse,

berkata usaha itu menjadi langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan sasaran Johor untuk menarik pelaburan, selain menumpukan kepada sektor halal dan teknologi tinggi.

Katanya, lokasi pertama ialah di Dubai pada bulan depan dengan tumpuan pada bidang pemprosesan makanan halal kerana di sana akan berlangsung satu pesta makanan bertaraf dunia yang disertai banyak pengeluar.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu memperkenalkan Johor sebagai hab halal untuk pasaran Asia kerana melihat permintaan yang tinggi dalam sektor terbabit.

“Saya akan melawat Dubai bagi menghadiri pesta makanan terbesar di dunia, kita berminat dalam bidang pemprosesan makanan kerana mahu menjadikan Johor sebagai hab halal di rantau ini.

“ASEAN mempunyai penduduk lebih 630 juta di mana majoritinya beragama Islam dan kita akan menggunakan pentas ini bagi memasuki pasaran China dan Jepun kerana kita melihat permintaan tinggi dalam industri makanan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Big Wheel dan URCE E-Commerce (M) Sdn Bhd untuk menubuhkan sebuah akademi bagi golongan usahawan memasarkan produk mereka.

Big Wheel diwakili Pengasas dan Pengarah Urusannya, Michael Chang, manakala URCE E-Commerce (M) Sdn Bhd oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Foo.

Wee Tse berkata lawatan ke Amerika Syarikat pula antara lain, akan menumpukan bidang data berteknologi tinggi kerana kerajaan negeri mahu menjadikan Johor sebuah kawasan Lembah Silikon yang baharu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebuah syarikat dari Perancis akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pada tahun ini untuk membangunkan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Senai, dekat sini.

“Ia bukan syarikat Airbus tetapi sebuah syarikat yang membekalkan barangan kepada Airbus. Mereka akan membuat kajian lapangan yang akan mengambil masa sebelum membuat keputusan dan menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.

Source: Berita Harian