Johor bakal terima pelaburan RM40 juta dari Dubai

Wee Tse (tiga dari kiri) bersama Baderul (dua dari kiri) mengadakan perbincangan ketika misi pelaburan kerajaan Johor ke UAE, Sabtu lalu. - Ihsan Pejabat EXCO

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pembuatan dan pembinaan berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan melabur RM40 juta di Johor bagi melebarkan sayap perniagaan di Iskandar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata perbincangan peringkat akhir dengan syarikat berkenaan dilakukan ketika misi pelaburan kerajaan negeri ke UAE bermula 16 Februari lalu dan berakhir Rabu lalu.

“Syarikat itu dijangka memulakan operasi sepenuhnya di Iskandar Malaysia pada September depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wee Tse yang mengetuai misi pelaburan itu, berkata pihaknya juga mengadakan pertemuan bersama pengurusan kanan Fujairah Holding, iaitu syarikat pemilik pemerintah Fujairah, dan berjaya meneroka beberapa peluang kerjasama antara Johor-Fujairah dalam industri petrokimia dan logistik.

Delegasi itu turut berkunjung ke Emirates National Chemical Industries LLC (EMICHEM) dan berbincang mengenai peluang pelaburan di Johor.

“Hasil pertemuan singkat itu, syarikat berkenaan menyatakan minat untuk melebarkan sayap perniagaan mereka ke Johor.

Beliau berkata, ekspo makanan ketiga terbesar di dunia, Gulfood turut menjadi destinasi misi pelaburan delegasi itu.

“Ekspo makanan ini mendapat sambutan seramai 98,000 peserta dari 193 negara. Saya berpendapat pameran seperti ini boleh menjadi platform terbaik untuk membantu pemain industri makanan di Johor terutama industri halal dan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan serta menjenamakan produk mereka di peringkat antarabangsa,” katanya.

Misi pelaburan kerajaan Johor itu turut disertai Pengurus Besar TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad.

Source: Berita Harian