Johor ada peluang miliki fasiliti MRO Airbus

JOHOR BARU: Hasrat Kerajaan Johor untuk mewujudkan sebuah fasiliti penyelenggaraan pesawat Airbus di negeri ini mempunyai peluang cerah.

Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, menerusi satu lawatan kerjanya di Perancis baru-baru ini, usul berhubung perkara itu dilihat mendapat respon yang positif.

Menurutnya, Johor telah mendapat perhatian dengan menjadi salah satu lokasi pilihan kepada pembekal utama bahagian sokongan dan penyelenggaraan Airbus.

"Hanya ada tiga pembekal utama bahagian sokongan, peralatan dan penyelenggaraan Airbus dan salah satunya menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.

"Johor adalah lokasi pilihan untuk mereka bangunkan sebuah fasiliti bagi menampung keperluan dan pasaran di Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jimmy berkata, idea mengembangkan bidang aeroangkasa itu di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri di samping memperoleh sumber pelaburan yang berkualiti.

"Johor sentiasa menjadi pilihan dalam pelaburan ekoran lokasinya yang begitu hampir dengan Singapura, mempunyai lapangan terbang bertaraf dunia dan infrastruktur dengan persekitaran pro-bisnes.

"Seiring dengan pelan tindakan aeroangkasa kebangsaan, Johor juga dilengkapi dan boleh menyediakan sistem ekologi terbaik bagi industri aeroangkasa. Ia terutama dalam sektor operasi penyelenggaran dan pembaikian (MRO)," katanya.

Untuk rekod, lawatan kerja yang berlangsung antara 3 hingga 10 November itu diadakan bagi mempromosikan Johor sebagai salah satu destinasi pelaburan terbaik kepada pelabur di Perancis.

Source: Sinar