ISKANDAR PUTERI: Perkhidmatan perniagaan global (GBS) Iskandar yang bakal menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab baharu sektor itu di rantau ini di­jangka mampu menarik pelaburan seba­nyak RM6.5 bilion menjelang tahun 2020.

GBS Iskandar yang diuruskan anak syarikat milik Khazanah Nasional Bhd., i2M Ventures Sdn. Bhd. (i2M) diwujudkan bagi merangsang pelaburan di Iskandar Malaysia dan dijangka mampu mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan dalam tempoh itu.

Pengarah Urusan i2M, Zulfiqar Zainuddin berkata, GBS Iskandar menjadi program khusus bertujuan menggalakkan syarikat tempatan dan asing menubuhkan operasi GBS, masing-masing di Iskandar Malaysia yang kini semakin rancak membangun.

"Setakat ini, lapan syarikat telah melabur di sini dengan pelaburan komited sebanyak RM1.2 bilion bagi tempoh lima tahun lalu dan mewujudkan 2,269 pekerjaan bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan,” katanya selepas pelancaran GBS Iskandar yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, di sini semalam.

Zulfiqar berkata, lokasi Iskandar Puteri yang strategik berhampiran Singapura, kos berdaya saing, ke­upayaan bahasa dan berkemahiran tinggi serta modal insan berbakat menjadikannya ideal sebagai hab perkhidmatan seumpama itu.

Bagi merancakkan lagi GBS Iskandar, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pelabur yang berminat, sekali gus menjangkakan lebih banyak perkembangan berkaitan sektor itu dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Terdahulu, Mustapa turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Vision Technology Consulting (VTC) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam usaha melatih modal insan berkemahiran bagi pihak industri.

VTC diwakili Pengarah Urusannya, Vernon Tee dan UTM diwakili Timbalan Naib Canselornya, Prof. Dr. Rose Alinda Alias.

Source: Utusan Online