JOHOR BAHRU: Iskandar Malaysia terus mendapat perhatian pelabur dari dalam dan luar negara dengan jumlah pelaburan sebanyak RM32.16 bilion berjaya direkodkan tahun lalu biarpun berdepan ekonomi global yang mencabar.

Jumlah itu mengatasi sasaran tahunan, iaitu RM25 bilion hingga RM30 bilion yang ditetapkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), sekali gus menjadikan pelaburan komited terkumpul yang direkodkan dari 2006 hingga Disember 2015 ialah RM190.29 bilion.

Daripada jumlah itu, 52 peratus atau RM98.47 bilion merupakan pelaburan dalam pelbagai sektor yang berjaya direalisasikan dan lima negara teratas penyumbang utama ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, daripada RM190.29 bilion itu, 60 peratus atau RM113.68 bilion merupakan pelaburan tempatan, manakala 40 peratus atau RM76.60 bilion diterima daripada pelabur asing.

“Kita berjaya mencatatkan jumlah pelaburan tahun lalu sebanyak RM32.16 bilion mengatasi sasaran tahunan kita dan kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Pusat dan negeri di Iskandar Malaysia.

“Iskandar Malaysia kini dalam fasa tiga pembangunan dengan banyak projek pemangkin seperti Legolanda Malaysia, EduCity dan Pinewood Iskandar Malaysia Studios sudah pun memulakan operasi.

“Wilayah ini bakal menyambut ulang tahun ke-10 pada November dan masih berjalan mengikut perancangan. Kita optimistik kawasan ini mampu terus menarik pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan tertinggi, iaitu sebanyak RM54.08 bilion, logistik (RM5.70 bilion), pelancongan (RM3.10 bilion), penjagaan kesihatan (RM2.77 bilion), pendidikan (RM1.97 bilion), perkhidmatan kewangan (RM0.74 bilion) dan industri kreatif (RM0.56 bilion).

Selain itu, sektor lain yang menyokong pertumbuhan termasuk hartanah dengan segmen kediaman, runcit dan industri secara kolektif menyumbang pelaburan terkumpul sebanyak RM96.59 bilion, diikuti utiliti (RM12.96 bilion), pelaburan kerajaan terutamanya dalam infrastruktur (RM8.99 bilion) dan teknologi baharu (RM2.85 bilion).

Menurutnya, limpahan ekonomi di Iskandar Malaysia juga dapat dinikmati rakyat dengan pelbagai peluang perniagaan boleh direbut selain 682,169 peluang pekerjaan ditawarkan sejak 2007 hingga tahun lalu.

-- BERNAMA -- http://www.bernama.com/bernama/v8/bu/newsbusiness.php?id=1236081

Source: Bernama